Monday, June 29, 2009

Dengki dengan orang lain

fathi-yakan

Ustaz Fathi Yakan, Ulama Lubnan yang banyak menyumbang kepada perkembangan dakwah di dunia

Ini adalah saringan bebas saya daripada buku karangan ulama Lubnan, Ustaz Fathi Yakan bertajuk “Bahtera Penyelamat”. Semoga bermanfaat untuk semua pembaca.

Kadang-kadang di atas Jalan dakwah ini kita bertemu dengan gangguan daripada saudara seperjuangan. Seolah-olah mereka cuba menghentikan kita daripada beramal atas kefahaman kita yang sahih dan jelas. Mereka berusaha melakukan pelbagai cara dan taktik supaya kita duduk dan menganggur. Pendek kata, mereka mahukan kita ini keluar dari Jalan yang panjang ini. Dahsyat sungguh!

Rasulullah sudah berpesan kepada kita tentang perkara ini. Dalam sebuah hadis yang ditakhrijkan oleh Abu Bakar bin Bilal daripada hadith Anas di dalam kitab Makarim Akhlak :”seorang mukmin itu berada diantara lima ancaman:

1. seorang mukmin yang dengki padanya

2. munafiq yang membencinya

3. kafir yang membunuhnya

4. syaitan yang menyesatkannya

5. hawa nafsu yang menggodanya”

Para pendakwah yang ikhlas akan menghadapi semua ancaman ini. Golongan yang dengki ini sangat tidak selesa dengan pencapaian orang lain dalam amal dakwah. Mereka hanya inginkan semua kejayaan dan hasil yang diperolehi para pendakwah hilang dan lenyap. Hati mereka sengsara. Jiwa mereka sakit menderita. Mereka sanggup merancang tipudaya ke atas saudara-saudara mereka. Perumpamaan mereka seperti kisah Qabil yang dengki, hasad, dendam yang membuak-buak hingga akhirnya membunuh saudaranya Habil. Sepanjang sejarah dakwah sejak dahulu hingga kini dicatat dengan kisah hasad dengki bukannya dari orang asing bahkan dari kawan dan sahabat rapat! Ibnu Mu’taz pernah berkata:“Orang yang hasad itu marah kepada orang yang tidak berdosa, kikir terhadap sesuatu yang bukan kepunyaannya dan sentiasa mencari atau meminta sesuatu yang tidak akan diperolehinya.”

Golongan yang dengki ini akan menghalalkan semua yang dilarang dan diharamkan untuk mencapai tujuan dan cita-cita peribadi mereka seperti api yang membakar daun-daun hijua juga daun kering. Saya kongsikan di sini beberapa hadith untuk golongan ini mengambil iktibar dan pengajaran jika pintu hati mereka masih terbuka:

“Sesiapa yang menggembar-gemburkan (pada orang ramai) sesuatu perkara (perkataan) terhadap seseorang Muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari Qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikah kebenaran apa yang telah dikatakannya.” (Hadith riwayat Al-Thabarani)

“Barangsiapa yang memakan daging saudaranya di dunia (mengumpat) kelak pada hari Qiamat dibawakan kepadanya daging itu, dikatakan kepadanya “Makanlah daging bangkai ini sebagaimana engkau makan dagingnya ketika dia hidup dahulu”. Lalu ia pun makan memakan daging itu sambil berteriak-teriak”. (Hadith riwayat A1-Tabrani dan lain-lain)

“Mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Sahabat bertanya bagaimana? Rasulullah menjawab: seorang yang berzina itu kalau bertaubat mungkin taubatnya itu diterima oleh Allah. Akan tetapi orang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang yang diumpatinya itu memaafkannya.” (Hadith riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Mengapa mereka dengki?

Merasa dirinya lebih mulia berbanding orang lain. Dia tidak rela orang lain mengatasinya dalam apa jua perkara. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah ia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.

Bertaubatlah wahai orang-orang yang beriman sebelum datangnya ajal.